KOTA BHARU - Seorang lelaki ditemui mati, dipercayai terkena renjatan elektrik, di sebuah pencawang di Kawasan Perindustrian Mara Fasa II, Pengkalan Chepa di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Baharu Superintenden Idris Rafar berkata mangsa ditemui mati dalam keadaan tertiarap di dalam bilik pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada pukul 12.20 tengah hari.
Mangsa dari Cherang Ruku, Pasir Puteh itu dipercayai mahu mencuri kabel elektrik milik TNB, katanya kepada Bernama di sini hari ini.
"Mangsa bernasib malang apabila telah tersentuh bahagian yang mempunyai aliran elektrik menyebabkannya meninggal dunia serta merta akibat renjatan elektrik," katanya.
Idris berkata siasatan awal mendapati suspek telah berjaya membuka salah satu kabel elektrik yang terdapat di dalam pencawang berkenaan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat, katanya.
Post a Comment