BERITA TERKINI

Monday, 31 March 2014

Mangsa lemas kedua ditemui

Advertisement
BACHOK - Mayat mangsa lemas kedua, Mohd Lutfi Ibrahim,14, yang mengikuti rombongan hari keluarga Komuniti 1 Malaysia Kampung Belukar di pantai berdekatan Kampung Sungai Gali dekat sini kelmarin ditemui pada jam 6.20 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, mayat mangsa ditemui terapung tidak jauh dari lokasi beliau dilaporkan lemas.

“Mangsa adalah remaja kedua selepas Muhammad Arifin,18, yang ditemui  lemas dalam gerakan mencari dan menyelamat jam 12.15 tengah hari Sabtu lalu. Mayat mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Bachok sebelum dituntut keluarganya,” katanya.

Mohd Lutfi adalah pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail 1.

Dalam kejadian pagi kelmarin, dua remaja dilaporkan lemas ketika mandi di pantai berkenaan sempena hari keluarga Komuniti 1 Malaysia Kampung Belukar, Pasir Mas.Ia disertai lebih 200 penduduk kampung yang menaiki tiga buah bas dan 20 buah kereta.

Pengerusi Komuniti 1 Malaysia Kampung Belukar, Omar Daud berkata, lokasi itu dipilih bagi memenuhi permintaan belia kampungnya yang ingin bersantai di pantai.

“Mereka kata tak ada hadiah pun tak apa asalkan dapat mandi pantai sebab dah lama kami tak buat rombongan ke pantai. Tahun lepas kami buat sukaneka di kampung sahaja dan kali terakhir buat rombongan ke pantai ialah dua tahun lalu.

“Biasanya kami ke pantai di Kampung Telong dan ini kali pertama kami ke sini dan menyewa beberapa buah chalet. Kami semua amat terkejut dengan kejadian ini dan tidak menyangka kegembiraan yang dirancang dengan pelbagai acara bertukar tragedi,” katanya.

Gerakan mencari dan menyelamat itu disertai pasukan Bomba dan Penyelamat termasuk unit skuba, Jabatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia.

Post a Comment