Bukan sahaja rumah tidak berbilik dan sebahagiannya hanya berdindingkan zink, keluarga itu juga terpaksa hidup dalam keadaan tidak selesa kerana kediaman mereka tiada bekalan air bersih dan elektrik.
Ketua keluarga terbabit, Idris Awang, 48 berkata, dia tidak mampu menyiapkan rumah itu dan menyediakan tempat tinggal lebih selesa untuk keluarganya kerana hanya bekerja mengambil upah menoreh.
“Selain menoreh dengan pendapatan sekitar RM50 seminggu, saya ada ambil upah menebas dan tanam getah untuk menyara kehidupan kami sekeluarga, tetapi masih tidak memadai.
“Untuk bekalan elektrik, saya guna generator tetapi selalunya hanya guna lilin, manakala untuk bekalan air pula, ada telaga yang digali berhampiran rumah,” katanya, kelmarin.
Idris memaklumkan, sebelum berpindah ke rumah separuh siap itu, dia sekeluarga menumpang di rumah seorang saudaranya selama kira-kira dua tahun selepas hampir 10 tahun tinggal di rumah mentua.
“Semasa menumpang di rumah saudara, saya cuba siapkan rumah sendiri dengan hasil upah menoreh tetapi tak mampu kerana untuk belanja makan minum pun tidak cukup.
“Pernah sekali saya hanya mampu beli gandum untuk makanan seharian selama beberapa hari kerana tidak mampu nak beli beras,” katanya yang ada tujuh anak berusia satu tahun hingga 18 tahun.
Tambah Idris, selain belanja makan minum, dia juga perlu menanggung perbelanjaan sekolah anak walaupun ada kalanya, empat anaknya yang masih belajar itu tidak membawa duit belanja.
Beban Idris dan isteri, Rohani Mamat, 41, bertambah apabila seorang anak mereka, Mohd Nor Ilmizi, 10, menghidap penyakit injap jantung bengkak sejak lahir dan perlu berulang-alik ke hospital untuk rawatan susulan.
“Saya pernah adukan masalah kami kepada penghulu tetapi dia pun tidak dapat berbuat apa-apa untuk bantu, jadi saya tidak tahu dengan siapa lagi nak minta tolong,” katanya.
Justeru, Idris amat berharap kedaifan hidup keluarganya terutama keadaan rumah mereka yang belum siap itu mendapat perhatian pihak berkenaan.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga itu boleh menghubungi Idris di talian 013-924 4484 atau menyalurkan bantuan terus ke akaunnya di nombor 0311229000226631 (Bank Simpanan Nasional).
Post a Comment