Lelaki berkenaan sekali lagi ditahan polis sewaktu sedang berjalan kaki di tepi jalan pekan Ajil kira-kira 12.45 tengah malam kelmarin, dipercayai sedang menunggu ‘pelanggan’.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hussin Deraman berkata, lelaki itu ditahan dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Hulu Terengganu.
Menurutnya, sebaik menyedari kehadiran polis, suspek bertindak melarikan diri, namun hasil kecekapan polis berjaya menahannya walaupun berlaku pergelutan.
"Pemeriksaan ke atas suspek mendapati suspek memiliki satu beg plastik berwarna biru mengandungi dua bungkusan surat khabar. Pemeriksaan lanjut mendapati satu bungkusan mengandungi 14 botol plastik lut sinar bertudung kuning dengan setiap satunya berisi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin.
“Satu bungkusan surat khabar lagi berisi dua peket plastik berwarna biru yang setiap satunya berisi 188 biji pil warna merah serta dua biji pil warna hijau disyaki dadah jenis pil kuda atau methamphetamine," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Hussin berkata, hasil siasatan awal, suspek sedang menunggu pembeli dari Kemaman dan kesemua dadah dianggarkan bernilai RM16,000 itu turut dirampas.
Katanya, jumlah rampasan tersebut adalah yang terbesar dicatatkan IPD Hulu Terengganu pada tahun ini.
"Suspek berasal dari Gong Badak dan mempunyai tiga anak berusia antara 12 hingga 19 tahun kini dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Seksyen 39A(2) ADB 1952," katanya.
Menurutnya, suspek sebelum ini mempunyai empat rekod kesalahan lampau bersabit dengan kesalahan memiliki dadah dan pernah ditangkap sejak 1986 hingga sekarang serta baru dibebaskan pada 31 Januari 2013 setelah empat tahun berada di penjara.
Post a Comment