KUANTAN – Seorang lelaki yang merupakan tok batin dikenakan denda sebanyak RM115,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan dan penjara selama dua tahun sekiranya gagal membayar denda, dekat sini, semalam atas kesalahan menyimpan anggota hidupan liar yang dilindungi tanpa permit khas, tiga tahun lalu.
Tertuduh Roha Dewa, 39, yang berasal daripada Kampung Air Molek, Muadzam Shah didakwa dengan tiga pertuduhan dan didapati melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Air Molek, Bukit Ibam, Muadzam Shah dalam daerah Rompin pada 14 Mei 2011 lebih kurang jam 1.10 pagi.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menyimpan lapan bahagian Beruang Matahari yang dilindungi sepenuhnya mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar Tahun 2000 (Akta 716 &) tanpa suatu permit khas di dalam peti sejuk yang tersenarai dalam jadual kedua, kelas mamalia famili Baruang Panda.
Tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyimpan enam bahagian harimau kumbang yang dilindungi tanpa suatu permit khas di dalam peti sejuk yang tersenarai dalam jadual kedua kelas mamalia dalam kategori famili kucing.
Dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 68(2) (c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak lebih daripada RM500,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun.
Manakala, pertuduhan ketiga, dia didakwa menyimpan lapan bahagian Kijang yang dilindungi tanpa suatu lesen di dalam peti sejuk, yang tersenarai dalam jadual pertama bahagian 1 bagi spesies buruan kelas mamalia, famili rusa.
Oleh yang demikian tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 60(1)(b) akta yang sama dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Hakim Fathiah Idris menetapkan hukuman denda RM10,000 dan sembilan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama, pertuduhan kedua pula denda sebanyak RM100,000 dan penjara selama sembilan bulan jika gagal menjelaskan denda dan bagi pertuduhan ketiga iaitu denda RM5,000 dan denda penjara selama enam bulan sekiranya gagal membuat pembayaran.
Mahkamah turut mengarahkan hukuman penjara yang dikenakan berjalan berasingan bermula pada hari dijatuhkan hukuman sekiranya tertuduh tidak mampu menjelaskan jumlah denda yang diberikan.
Hakim turut membenarkan penangguhan pembayaran sehingga 15 hari disertakan dengan waran komitmen sekiranya tertuduh mampu untuk menjelaskannya dalam tempoh diberikan.
Post a Comment