BERITA TERKINI

Wednesday, 12 February 2014

Pucuk pimpinan Sarawak yakin Adenan teruskan usaha Taib

Advertisement
KUCHING - Beberapa pemimpin Sarawak melahirkan keyakinan bahawa Tan Sri Adenan Satem yang akan menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai ketua menteri dapat meneruskan usaha murni yang dilakukan oleh Taib.

Abdul Taib akan mengundur diri pada akhir bulan ini.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu berkata Adenan, 70, masih berupaya memimpin pasukan yang dibina oleh Abdul Taib selama ini untuk  meneruskan agenda pembangunan Sarawak.

"Saya amat gembira menyokong Tan Sri Adenan yang diberi mandat untuk memastikan pelaksanaan program dan apa yang telah dirancang di Sarawak akan dilaksanakan," kata beliau kepada pemberita di sini.

Beliau berkata Kabinet negeri akan terus berfungsi sebagai satu pasukan demi kemakmuran Sarawak.

Sementara itu, Menteri Kewangan Kedua Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh berkata Abdul Taib telah meninggalkan landasan yang kukuh untuk Adenan membangunkannya.
   
Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, Sarawak dijangka menghadapi cabaran yang sukar dalam tempoh lebih dua tahun akan datang dan oleh itu memerlukan pemimpin berkebolehan untuk terus memimpin rakyat negeri ini.

Beliau berkata Adenan adalah pilihan terbaik untuk mengekalkan kestabilan kerajaan negeri bagi menghadapi cabaran dan membolehkan Barisan Nasional
mencapai kemenangan dalam pilihan raya negeri akan datang.

Post a Comment