BERITA TERKINI

Saturday, 22 February 2014

Nenek 11 cucu patah tulang paha

Advertisement
KUANTAN - Rutin harian seorang warga emas berubah selepas dia terjatuh bilik air kira-kira tiga minggu lalu hingga mengakibatkan tulang pahanya patah dan terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan.

Jika sebelum ini, nenek kepada 11 cucu, Siti Halijah Mat Aluwi, 73, aktif menjahit, membuat kuih dan menanam bunga tetapi rutin harian terpaksa dilupakan kerana pergerakan terhad.

Siti Halijah yang lebih mesra dipanggil nenek berkata, akibat terjatuh di bilik air, tulang pahanya mengalami masalah dan terpaksa dirawat di hospital selama dua minggu termasuk membuang dua kampit darah beku.

“Dulu nenek suka jahit langsir dan tanam bunga, tapi sejak bergantung dengan tongkat, nenek tidak mampu bergerak macam dulu,” katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana suami, Nazirind Kasim Ali, 73, menjadi tempat dia bergantung.

Katanya, sejak kemalangan itu, suaminya mengambil alih semua tugasan rumah termasuk memasak.

Siti Halijah berkata, dua anaknya masing-masing sudah berkeluarga dan tinggal di Selangor serta Melaka tetapi mereka sentiasa menjenguk dan bertanya khabar.

Menurutnya, dia dan suami sentiasa mengikut arahan doktor dan kini bergantung kepada ubat yang dibekalkan sebelum membuat rawatan susulan yang diarahkan pada 24 Mac depan.

“Doktor menasihatkan saya menggunakan tongkat berkaki empat supaya dapat bersenam dan memberi nasihat mengenai kaedah untuk membaik pulih pergerakan kaki,” katanya.

Bagi mengurangkan beban kesakitan Siti Halijah, Badan Kebajikan Kemanusiaan Beserah dan Sungai Karang (Bakkis) semalam menghulurkan sumbangan kerusi roda sekali gus memudahkannya bergerak untuk berulang alik dari rumah ke HTAA.

Yang Dipertuanya, Wan Azlan Wan Salleh berkata, mereka dimaklumkan Siti Halijah memerlukan kemudahan itu dan Bakkis antara pertubuhan bukan kerajaan yang bersedia membantu pesakit mengurangkan beban diri dan keluarga.

“Sumbangan ini memudahkan Nazirind membawa isterinya yang terpaksa berulang alik untuk mendapatkan rawatan susulan selain bergerak lebih jauh dan tidak terhad di kawasan rumah,” katanya.

Post a Comment