Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba Hanaffi Mohd berkata, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, pihaknya terlebih dahulu menyelamatkan kedai makan bersebelahan yang sudah mula disambar api.
"Apabila anggota bomba sampai, kedai tiga pintu separa kekal terbabit sudah 90 peratus terbakar dan api mula menyambar kedai makan bersebelahan.
"Kami mengawal kebakaran daripada terus merebak terlebih dahulu sebelum memadamkan api di premis kedai yang terbakar," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Hanaffi berkata, premis yang musnah dalam kebakaran itu menempatkan sebuah kedai menjual burung, manakala dua lagi kedai yang menjual pakaian ‘bundle’ dalam proses ubah suai.
Menurutnya, panggilan kecemasan diterima pada jam 12.19 tengah malam, sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
“Api dapat dikawal pada jam 12.39 tengah malam dan operasi tamat sepenuhnya 14 minit kemudian,” katanya yang mengetuai operasi berkenaan.
Tambahnya, berdasarkan keterangan pemilik dan pengusaha kedai terbabit, kerugian dianggarkan RM80,000, manakala punca kejadian masih dalam siasatan.
Adun Bukit Panau, Datuk Abdul Fattah Mahmood yang turut berada di lokasi ketika kejadian meminta pengusaha kedai terbabit membuat laporan polis supaya pihaknya dapat memohon bantuan Tabung Serambi Mekah.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai terutama pemilik kedai lama supaya memeriksa pendawaian di premis masing-masing bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Saya harap mereka yang terlibat bersabar dan terima kasih kepada orang ramai serta penduduk sekitar yang bekerjasama membantu pihak bomba,” katanya.
Post a Comment