BERITA TERKINI

Saturday, 22 February 2014

Lelaki maut dirempuh bas

Advertisement
REMBAU – Seorang lelaki maut selepas dirempuh sebuah bas persiaran ketika melintas jalan di kilometer 230.2, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah Selatan, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, mangsa, K C Sathyaraj, 24, beralamat di Taman Kesang Damai, Jasin, Melaka, disahkan maut di tempat kejadian susulan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal dipercayai mangsa sedang melintas dari kiri ke kanan jalan dan dalam masa sama datang sebuah bas lalu merempuh mangsa.

“Mangsa maut di tempat kejadian dan mayat mangsa di hantar ke Hospital Tampin untuk proses bedah siasat," katanya.

Sementara itu, pemandu bas, Hajri Maidum, 42, berkata, ketika sampai di tempat kejadian, dia nampak mangsa mundar mandir di lorong tengah lebuh raya.

"Saya segera membunyikan hon dan memberikan lampu tinggi, namun dia masih berada di tengah jalan dan saya tidak dapat mengelak daripada merempuhnya," katanya.

“Semasa kejadian kawasan agak gelap, jadi bila sudah hampir dengan lokasi saya terkejut apabila ternampak ada orang di tengah-tengah lebuh raya. Saya tidak sempat mengelak dan terus merempuh mangsa.

“Saya terus memberhentikan bas tidak jauh dari lokasi kemalangan dan berlari ke arah mangsa kerana bimbang kenderaan lain akan melanggarnya. Bagaimanapun, dua kenderaan yang berada di belakang bas saya turut tidak dapat mengelak daripada melanggar mangsa,” katanya.

Hajri berkata, mujur terdapat pemandu lori yang memberhentikan kenderaan dan bertindak mengawal lalu lintas sementara orang awam yang lain membantu mengangkat mayat mangsa ke tepi bahu jalan.

Menurutnya, dia berasa sangat bersyukur kerana badan mangsa masih berada dalam keadaan baik dan tidak hancur kerana berjaya diangkat ke kawasan selamat.

“Namun, apa yang saya pelik kenapa mangsa berada di tengah-tengah jalan dan semasa kejadian motosikal mangsa pula berada dalam keadaan enjin tidak dimatikan di lorong kecemasan," katanya.

Post a Comment