BERITA TERKINI

Sunday, 9 February 2014

Langgar lari atau terbabas?

Advertisement
ALOR PONGSU - Penemuan seorang remaja lelaki yang terbaring berlumuran darah bersebelahan motosikalnya di Jalan Selama di sini, kelmarin mencetuskan persoalan sama ada mangsa dilanggar lari atau terbabas dengan sendiri.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, mangsa, Mohammad Badron Shah Abd Jalil,21, yang berasal dari Simpang Empat Semanggol ditemui penduduk pada jam 10 pagi.

Bagaimanapun, Mat Fauzi berkata, polis hanya menerima maklumat mengenai kematian mangsa pada jam 1 pagi semalam oleh Hospital Taiping, setelah remaja itu difahamkan dihantar ke hospital oleh orang awam berikutan mengalami kecederaan parah di kepala.

“Memandangkan kes ini tidak dilaporkan, polis terpaksa merujuk maklumat daripada pihak hospital dan difahamkan, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 ditemui orang awam dalam keadaan terbaring dan cedera parah.

“Siasatan awal polis masih tidak dapat mengesahkan punca sebenar kejadian, namun kami tidak menolak kemungkinan mangsa terbabas dan terlanggar sesuatu berdasarkan kesan kerosakan pada pemijak dan penukar gear motosikalnya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mat Fauzi berkata, siasatan terperinci terhadap kes itu masih dijalankan dan kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat kejadian tersebut diperlukan untuk membantu siasatan polis.

Menurutnya, polis juga menggesa orang awam supaya segera melaporkan sebarang kejadian kemalangan supaya gambaran sebenar kejadian diperoleh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini diminta tampil bekerjasama dengan kami bagi membantu siasatan.

“Di sebalik punca sebenar kes masih tidak jelas, pihak kami yakin ia akan dapat diketahui lebih terperinci setelah laporan forensik disiapkan.
“Mayat mangsa sudah dituntut keluarga  dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Post a Comment