BERITA TERKINI

Thursday, 20 February 2014

Belajar melalui internet buat senapang

Advertisement
KAMPAR - Sekumpulan empat sahabat yang diberkas kerana memburu menggunakan senapang angin buatan sendiri Sabtu lalu dipercayai mempelajari teknik buatan senjata itu berpandukan maklumat di internet.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, senjata berkenaan dipercayai dihasilkan di rumah menggunakan bahan mudah didapati seperti paip PVC (Polyvinyl Chloride) diubah suai sehingga menjadi senjata yang digunakan untuk berburu.

Menurutnya, suspek menggunakan cecair spirit untuk membolehkan senjata itu berfungsi dan menggunakan guli sebagai peluru.

“Siasatan turut mendapati suspek telah memiliki senjata tersebut sejak lima bulan lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, semalam.

Sabtu lalu, keempat-empat suspek ditahan dalam satu sekatan jalan raya di hadapan sebuah lombong di Malim Nawar di sini.

Kumpulan lelaki berusia antara 19 hingga 45 tahun itu menaiki kereta jenis Proton Perdana ditahan anggota Balai Polis Malim Nawar setelah dilihat dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 3 pagi di kawasan terbabit.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat empat laras senapang angin buatan sendiri disorokkan di bawah kerusi penumpang hadapan dan belakang serta 26 biji guli dipercayai peluru bersama dua botol cecair yang disyaki cecair kimia.

Berikutan itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1980 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan penjara maksimum tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Kong Soon berkata, kesemua suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Kampar pada Selasa lalu dan masing-masing telah membayar denda sebanyak RM4,000.

“Sehubungan itu, kami menyeru orang ramai yang memiliki senjata api buatan sendiri atau tiruan untuk tampil dan menyerahkannya kepada polis kerana ia adalah satu kesalahan.

“Jika mereka tiada alasan kukuh untuk menyimpan senjata tersebut, kami akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka,” katanya.

Post a Comment