BERITA TERKINI

Thursday, 20 February 2014

Biawak,warga Vietnam didakwa

Advertisement
ALOR SETAR - Seorang warga Vietnam dihadapkan ke mahkamah sesyen di sini, semalam atas empat tuduhan menyimpan dan mengeksport dua jenis biawak yang dilindungi serta beberapa bahagian badan hidupan itu.

Tertuduh, Quach Van Mung, 34, bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Hakim Azhar Mokhtar.

Dalam pertuduhan pertama dan kedua, Van Mung didakwa menyimpan dan mengeksport seekor biawak tikus (Varanus Nebulosus) yang mati iaitu sejenis hidupan liar dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 tanpa permit khas.

Bagi tuduhan menyimpan biawak tikus itu, dia didakwa mengikut Seksyen 68(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Bagi tuduhan mengeksport pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 71 akta sama yang sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM100,000 dan boleh dipenjara maksimum tiga tahun.

Pertuduhan ketiga dan keempat pula, Van Mung didakwa menyimpan dan mengeksport dua biawak air (Varanus Salvator) dan bahagian hidupan itu iaitu empat kepala, 20 kaki, lima ekor dan tujuh kulit yang merupakan sejenis hidupan liar dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 tanpa permit khas.

Bagi tuduhan menyimpan biawak air dan bahagian hidupan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 60(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Tuduhan mengeksport pula, dia didakwa mengikut Seksyen 65 akta sama yang sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 dan boleh dipenjara maksimum setahun.

Kesemua pertuduhan dilakukan oleh tertuduh di Check Point C, Kompleks Bukit Kayu Hitam dekat sini kira-kira jam 7.45 pagi, 16 Februari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Kamarul tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan tertuduh adalah warga asing dan kemungkinan tertuduh akan meninggalkan negara ini pada bila-bila masa.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM50,000 bagi semua pertuduhan dengan dua penjamin warga Malaysia dengan syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa tertuduh diserah kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan tarikh 12 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Post a Comment