BERITA TERKINI

Wednesday, 11 November 2015

Terbuka China Datuk Lee Chong Wei lepasi halangan pertama

Advertisement
BEKAS pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei memulakan cabaran memburu gelaran kedua Siri Super Perdana musim ini apabila melepasi pusingan pertama Terbuka China di Pusat Sukan Olimpik Haixia di Fuzhou, China, hari ini.

Chong Wei, yang merangkukl gelaran sulung berstatus Siri Super Perdana musim ini pada Terbuka Perancis bulan lepas, hanya mengambil masa 36 minit untuk menyingkirkan pemain Hong Kong, Angus Nh Ka Long dengan 21-10, 21-15.

Menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.org, Chong Wei, 33, bakal bertemu sama ada finalis Terbuka Perancis yang juga pemain pilihan keenam, Chou Tien Chen dari Taiwan atau pemain tuan rumah, Xue Song pada pusingan kedua esok.

Selain Chong Wei, pemain wanita perseorangan utama negara, Tee Jing Yi turut melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan pemain Taiwan, Chen Hsiao Huan, 21-17, 22-20.

Bagaimanapun, beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying tersingkir daripada kejohanan bernilai US$700,000 (RM3.04 juta) itu apabila tewas mengejut kepada gandingan bukan pilihan, Reginald Lee Chun Hei/Chau Hoi Wah dari Hong Kong, 23-21 dan 21-18.

Bekas beregu lelaki negara, Hoon Thien How/Lim Khim Wah menampilkan aksi terpuji serta memberi saingan sengit sebelum tewas kepada pasangan pilihan keempat, Mathis Boe/Carsten Mogensen dari Denmark, 16-21, 21-18, 13-21 dalam pertarungan selama 69 minit.

Sementara itu, beregu lelaki utama negara, Goh V Shem/Tan Wee Kiong/ serta beregu wanita, Amelia Anscelly/Soong Fie Cho turut melangkah ke pusingan kedua selepas melepasi pusingan pertama.

Goh/Tan mengalahkan beregu pecahan Ruud Bosch (Belanda)/Oliver Leydon-Davis (New Zealand) 21-16, 21-11 manakala Amelia/Soong mengetepikan beregu Mesir, Doha Hany/Hadia Hosny 21-7, 21-8.

Bekas naib juara dunia, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong turut melangkah ke pusingan kedua tanpa bermandi peluh apabila beregu dari India, Manu Attri/Sumeeth Reddy menarik diri.

Bagaimanapun, beregu wanita negara Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei gagal meneruskan saingan apabila tewas straight set 14-21, 16-21 kepada pasangan Korea Selatan, Chae Yoo Jung/Kim So Yeong. - Bernama

Post a Comment