BERITA TERKINI

Wednesday, 14 January 2015

Tiga lelaki ditahan ketika leka memproses air daun ketum

Advertisement
BALIK PULAU - Sebuah rumah terbiar di Kampung Permatang Damar Laut, Batu Maung di sini menjadi markas memproses air daun ketum terbongkar apabila tiga lelaki ditahan dalam serbuan Isnin lalu.


Dalam serbuan kira-kira jam 1.30 petang, kesemuanya dikatakan sedang sibuk merebus dan membungkus air ketum untuk dipasarkan kepada pekerja kilang dan nelayan di sekitar Batu Maung dan Bayan Lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Lai Fah Hin berkata, polis menemui 900 paket air ketum yang  siap dibungkus selain 20 kilogram daun ketum di dalam rumah berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki berasal dari Pendang,Kedah mendapat bekalan dari Kedah dan sebungkus air ketum dijual RM6.

"Kesemua yang berusia antara 21 hingga 25 tahun itu menjadikan rumah yang tiada penghuni itu sebagai tempat memproses air ketum. Mereka dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak enam bulan lalu dan mempunyai pelanggan tetap," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Fah Hin berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan untuk memproses air ketum termasuk periuk, tong gas, dapur memasak, penapis dan senduk.

Rampasan dianggarkan bernilai RM7,000 dan mereka kini direman empat hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun," katanya.

Sementara itu, Fah Hin berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di bahagian hadapan  rumah itu dan menjumpai lapan paket lutsinar berisi dadah disyaki heroin.

Menurutnya, lelaki berkenaan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis namun berjaya ditahan.

"Pemeriksaan terhadap lelaki berkenaan menjumpai 638.4 gram heroin selain plastik kosong dan gunting yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah sebelum diedarkan di sekitar kawasan Bayan Lepas dan Batu Maung.

"Pemeriksaan air kencing mendapatinya positif dadah jenis morphine dan amphetamine dan dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak lima bulan lalu," katanya.

Fah Hin berkata,dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM30,000.

"Suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dan kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori," katanya.

Post a Comment