Nasimah Kamarudin, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zanol Rashid Hussain.
Nasimah, yang diamanahkan dengan satu buku cek akaun Maybank milik Magada Entertainment Sdn Bhd, didakwa telah menunaikan lima keping cek atas namanya dan telah mendepositkan lapan keping cek ke dalam akaun banknya, membabitkan wang keseluruhan berjumlah RM90,000.
Wanita itu ditangkap pada 28 April lepas didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat berkenaan di Jalan Balau, Damansara Heights di sini antara 1 November 2007 dan 28 Mac 2008.
Mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Pengadu dalam kes ini adalah penyanyi Sheila Majid atau nama sebenarnya Shaheila Abdul Majid, yang juga pengarah urusan syarikat itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri tidak menawarkan sebarang jaminan, namun Nasimah yang tidak diwakili peguam memohon jaminan yang minimum dengan alasan perlu menyara anaknya masih bersekolah.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan 30 Jan depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Post a Comment