BERITA TERKINI

Wednesday, 6 August 2014

Anggota polis terperangkap dalam kafe siber

Advertisement
BANDARAYA MELAKA - Dua anggota polis terperangkap di dalam sebuah kafe siber tidak sah yang menjalankan aktiviti judi internet selepas pintu premis berkenaan di Taman Semabok Perdana, Semabok dikunci dari luar.

Menurut sumber, kedua-dua angota berpangkat koperal berusia 25 hingga 30 tahun itu dikunci oleh individu tidak dikenali ketika membuat risikan kira-kira jam 3.30 petang kelmarin.

“Sebelum kejadian, sepasukan polis dari  Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri membuat serbuan di sebuah premis yang terletak kurang 300 meter daripada kawasan tersebut.

“Ketika serbuan, dua anggota diarahkan untuk membuat risikan di sebuah pusat judi lain bersebelahan kedai serbaneka 24 jam dan sebaik sahaja mereka masuk ke dalam premis tersebut, pintu masuk dimangga dari luar,” katanya.

Sumber berkata, anggota tersebut memaklumkan pegawai bertugas yang menyertai serbuan Ops Dadu sebelum bertindak mengejar seorang lelaki lingkungan 60an dipercayai mengunci premis terbabit.

“Lelaki warga emas yang dikejar sejauh kira-kira 500 meter kemudian gagal dikesan selepas hilang dari pandangan.

“Bagaimanapun lelaki berkenaan kemudian kembali membuka mangga yang berkunci selepas pihak polis cuba memecah masuk premis yang di dalamnya turut mempunyai 10 kaki judi dan seorang pekerja lelaki,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus D7 negeri, Asisten Superintendan Azahar Abdul Rahim berkata, seramai 33 kaki judi ditahan dalam serbuan di tiga lokasi berasingan di Taman Semabok Perdana.

“Empat pekerja premis termasuk dua wanita berusia 17 dan 19 tahun turut ditahan ketika serbuan dalam operasi dari jam 3 petang hingga 8 malam.

“Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 17 dan 68 tahun terdiri daripada 33 pemain dan empat penjaga dan juruwang premis berkenaan," katanya.
Menurutnya, sebanyak 50 set komputer turut dirampas bersama empat modem daripada ketiga-tiga premis yang diserbu dalam lima jam tersebut.
“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(b)(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Post a Comment