BERITA TERKINI

Wednesday, 16 July 2014

Tok Jogho dan tukan karut raikan Nuzul Quran

Advertisement
KOTA BHARU - Kumpulan Dikir Barat di negeri ini buat julung kalinya meraikan Nuzul Quran tahun ini dengan penganjuran tilawah al-Quran khusus untuk 'tok jogho' dan `tukang karut'.

Acara dianjurkan Koperasi Dikir Barat Kelantan Berhad (KDBKB) itu disertai 12 peserta terdiri daripada tok jogho dan tukang karut dikir barat terkenal di negeri ini.

Pengerusi KDBKB Datuk Dr Zulkepli Mohamad  berkata pihaknya ingin mencipta kelainan berikutan sebelum ini persepsi masyarakat hanya melihat pendikir iaitu tok jogho dan tukang karut hanya boleh menyanyi sahaja.

"Acara yang pertama kali diadakan dalam sejarah Dikir Barat itu di adakan untuk menarik golongan pendikir untuk membaca Al-Quran," katanya kepada pemberita pada majlis tersebut di sini malam tadi.

Beliau berkata pihaknya bercadang mengadakan kelas khusus untuk golongan pendikir membaiki bacaan al-Quran dan menjadikannya aktiviti tahunan.

Seorang peserta Annuar Mohd Nor atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Nuar Bollywood, 56, berkata ia memang pengalaman baharu apabila membaca al-Quran di hadapan orang ramai.

"Ia berbeza dengan menyanyi, jadi ia satu pengalaman baharu dan acara ini memang patut diadakan dan saya harap ia akan diadakan pada tahun akan datang," katanya.

Post a Comment