KOTA BHARU - Seorang lelaki warga Nepal cedera di kepala selepas dipukul dengan tukul oleh rakan serumahnya dalam satu pergaduhan di sebuah rumah di Taman Desa Kemumin, Pengkalan Chepa, di sini, pagi semalam.
Kejadian berlaku ketika dua pekerja sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa II, di sini, berada rumah mereka, jam 11 pagi.
Suspek berusia 20-an mendakwa ketika itu mangsa berusia 20-an dalam keadaan mabuk dan mengganggunya.
Katanya, tidak tahan diganggu, dia memarahi rakannya itu menyebabkan mereka bergaduh. Suspek yang tidak berpuas hati mencapai tukul dan memukul kepala mangsa menyebabkan rakannya itu rebah berlumuran darah.
Timbalan Ketua Polis Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar yang mengesahkan kejadian berkata, ketika tiba di lokasi, pihaknya mendapati mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah di kepala.
“Suspek ditahan dan siasatan awal mendapati suspek mendakwa mangsa mabuk serta mengganggunya. Suspek juga mengaku sering bergaduh dengan mangsa yang dikatakan bertabiat buruk.
"Mangsa yang cedera di kepala akibat hentakan senjata keras dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, manakala suspek pula ditahan bagi membantu siasatan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan. Kedua-dua warga Nepal tersebut telah dua tahun berada di negeri ini dan memiliki dokumen sah.
Post a Comment