Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, semasa kejadian, mangsa, Faris Manaf, 13 membonceng motosikal bersama rakannya, Mohd Azroy Mohd Azman, 15 dalam perjalanan dari Rantau Panjang ke Pasir Mas telah berlanggar dengan sebuah kereta jenis Mercedes.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah akibat pelanggaran itu dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada jam 8.20 pagi keesokan harinya, manakala rakan mangsa yang cedera parah masih dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II), Kota Bharu.
Haliludin berkata, siasatan awal mendapati kereta terbabit dalam perjalanan dari arah Rantau Panjang, membelok ke kanan untuk singgah di kedai makan dan mangsa yang menunggang motosikal berpendaftaran Thailand tidak menyedari kereta itu lalu melanggar bahagian kanan kenderaan terbabit.
Katanya, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas sebelum dirujuk ke HPRZ II dan HUSM manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kemudiannya diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 41(1) akta sama," katanya.
Sementara itu, usaha Sinar Harian menemui keluarga mangsa gagal kerana difahamkan jenazah Faris dikebumikan di kampung halamannya di Golok, Thailand.
Dalam perkembangan lain, Haliludin memaklumkan, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Batalion Pertama Rejimen Sempadan berjaya menahan tujuh pendatang tanpa izin termasuk seorang kanak-kanak kerana memasuki negara ini tanpa dokumen sah melalui Pengkalan Haram Anak Imam, di sini pada Rabu lalu.
"Seramai empat lelaki, dua perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang sebelum diserahkan kepada agensi berkaitan," katanya ketika ditemui pada program Sukan Rakyat anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Machang Gochoh, petang semalam.
Dalam pada itu, beliau berkata, program komuniti banyak membantu masyarakat kampung bergaul sekali gus mengelak golongan muda daripada terjebak dalam kegiatan jenayah dan beliau menggalakkan KRT lain untuk lebih aktif dalam komuniti pada masa depan.
Post a Comment