BERITA TERKINI

Saturday, 17 May 2014

Dua buah rumah dan satu kereta musnah dalam kebakaran

Advertisement
PASIR PUTEH - Dua rumah dan satu kereta musnah dalam kebakaran di Kampung Tualang Tinggi, Selising dekat sini, malam kelmarin yang menyebabkan dua keluarga mengalami kerugian lebih RM150,000.

Mat Jusoh Sahak, 57, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 10 malam ketika dia menonton siaran langsung perlawanan bola sepak di kedai makan tidak jauh dari rumahnya.

Ketika itu dia dihubungi adiknya, Rokiah yang memaklumkan kejadian itu dan dia bergegas pulang dengan motosikal.

“Masa pakcik sampai, hampir keseluruhan rumah terbakar. Pakcik cuba mengambil kunci kereta Proton Iswara Aeroback dari jendela tapi tidak berjaya kerana api terlalu besar.

“Pakcik hanya mampu melihat rumah dan kereta terbakar, tidak sempat menyelamatkan barang berharga dan dokumen penting,” katanya.

Mat Jusoh berkata, isterinya, Azizon Yusop, 52, berada di Bandar Pusat Jengka, Pahang bersama anak-anak kerana menghadiri konvokesyen anak sulung, Mohd Junaidi, 31, di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Jiran Mat Jusoh, Razali Mat Ail, 44 berkata, dia terkejut apabila bekalan elektrik tiba-tiba terputus dan ketika itu dia nampak api marak di rumah sebelah.

Katanya, dia sempat mengalihkan kereta dan motosikal selepas mengarahkan isteri, Noraini Che Ghani, 35, dan anak-anak berusia satu hingga 10 tahun keluar dari rumah.

“Selepas meletakkan kereta dan motosikal di tempat selamat, saya kembali semula ke rumah dan ketika itu saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana asap tebal memenuhi ruang dalam rumah saya,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan dari Pejabat Gerakan Operasi Kelantan, jam 10.32 malam sebelum dua jentera bersama lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba di lokasi, api sedang marak memusnahkan kedua-dua rumah yang diperbuat daripada kayu itu sebelum ia dapat dikawal sepenuhnya dalam masa 20 minit. Punca kebakaran dan jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Adun Selising, Zulkifle Ali yang mengunjungi mangsa berkata, bantuan segera RM500  dihulurkan untuk setiap keluarga terbabit.

“Kita sedang uruskan bantuan lain daripada agensi berkaitan dan diharap mangsa kebakaran bersabar, menerima ketentuan ALLAH SWT,” katanya.

Post a Comment