BERITA TERKINI

Thursday, 1 May 2014

Remaja maut motosikal dinaiki dirempuh lori

Advertisement
JERTIH - Seorang remaja lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangi dirempuh sebuah lori setelah melanggar belakang sebuah kereta dekat Kampung Apal, di Jalan Jerteh-Kuala di sini kelmarin.

Mangsa Mohd Ikmal Hafiz Awang, 18, dari Kuala Kubang, Jabi meninggal dunia di hospital selepas cedera di kepala dan beberapa anggota badan dalam kejadian kira-kira jam 4.55 petang  itu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, sebelum kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari  Jertih.

Menurutnya, setiba di tempat kejadian dikatakan motosikal yang ditunggangi mangsa telah melanggar bahagian belakang sebuah kereta dari arah sama yang berhenti untuk memasuki simpang SK Apal di kanan jalan.

“Mangsa yang menunggang berseorangan mengekori sebuah kereta yang dipandu seorang wanita namun tidak dapat mengelak bahagian kanan belakang kereta itu.

“Sebaik merempuh kereta tersebut, mangsa terbabas ke laluan bertentangan dan dirempuh sebuah lori yang datang dari arah Kuala Terengganu,” katanya.

Kamaruddin berkata, rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan raya sebelum dikejarkan ke Hospital Daerah Besut.

Katanya, pemandu wanita dan pemandu lori yang kedua-duanya berumur 40 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa meninggal dunia di hospital berkenaan kira-kira jam 8.16 malam hari yang sama.

Post a Comment