BERITA TERKINI

Saturday, 17 May 2014

Pusat hiburan karaoke Jalan Sultanah Zainab II diserbu

Advertisement
KOTA BHARU - Taktik menyembunyikan operasi pusat hiburan karaoke dengan mengambil tempahan hanya pada kenalan tertentu, dibongkar dalam serbuan di Jalan Sultanah Zainab II, di sini, malam kelmarin.

Operasi bersepadu yang dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK) bersama penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) itu hasil maklumat awam dan risikan setelah mengetahui pusat berkenaan beroperasi di kawasan itu sejak sebulan lalu.

Pegawai Turus D7, Asisten Superitendan Nik Rosdi Nik Yahya berkata, serbuan dilakukan di tingkat atas bangunan terbabit yang disewa khas sebagai pusat hiburan berkenaan.

Nik Rosdi berkata, pemiliknya amat licik apabila menggunakan pintu belakang bangunan sebagai jalan untuk masuk ke premis berkenaan yang tidak diketahui oleh orang awam dan pusat itu hanya beroperasi apabila ditempah oleh pelanggan tertentu mengikut permintaan dengan kadar caj yang ditetapkan.

“Ketika sampai di pusat itu, seorang lelaki Melayu dan dua perempuan Melayu sedang asyik berhibur di premis terbabit. Hasil serbuan yang dilakukan, kita bertindak merampas segala peralatan karaoke yang bernilai RM5,000 dan menahan pemilik pusat berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya kepada media di sini.

Beliau berkata, sabit kesalahan pemilik berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Hiburan Negeri Kelantan kerana menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen manakala pelanggan yang berada di premis itu disoal siasat untuk membantu kes.

Menurutnya, operasi bersepadu seumpama ini yang dijalankan antara polis bersama pelbagai agensi penguatkuasaan, terutamanya pihak MPKB-BRI akan diteruskan dari masa ke masa bagi membanteras sebarang aktiviti tidak bermoral dan menyalahi undang-undang di negeri ini.

“Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan serta kerjasama terutamanya dari segi penyaluran maklumat dan kita harap orang ramai akan sentiasa bersama-sama agensi penguatkuasaan, bagi mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Post a Comment