BERITA TERKINI

Monday, 28 April 2014

Warga emas maut dipukul dengan kayu

Advertisement
TANAH MERAH - Seorang warga emas tidak sempat menunaikan solat Isyak apabila maut akibat dipukul dengan kayu oleh seorang lelaki yang menceroboh rumahnya di Kampung Gual Raja, Gual Ipoh, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, mangsa, Md Setapa Abd Radzad, 75, yang luka di dahi dan kepala meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Gual Ipoh, kira-kira jam 9 malam.

Isteri mangsa, Sabariah Awang Noh, 71, berkata, kejadian berlaku ketika suaminya berada di dapur berhampiran bilik air untuk mengambil wuduk sebelum menunaikan solat Isyak.

“Sebelum itu, saya baharu selesai solat Isyak di ruang tamu dan suruh suami pergi ambil wuduk untuk solat Isyak kerana kadang-kadang dia lupa.

“Tiba-tiba saya terdengar suami menjerit minta tolong dan saya tanya sama ada dia rebah tetapi dia jawab “aku kena pukul”,” katanya kepada pemberita di rumahnya, semalam.

Sabariah berkata, dia terus berlari ke dapur dan melihat suaminya terbaring di atas lantai sambil mengerang kesakitan dengan kepalanya berlumuran darah.

“Waktu itu, saya juga ternampak kelibat seorang lelaki berbaju T-shirt dan seluar jeans gelap serta memakai sarung kepala berlari keluar dari pintu dapur.

“Walaupun berdarah, suami saya masih boleh bangun dan duduk atas tangga dapur sambil pegang sebatang kayu dan beritahu kayu itu yang digunakan untuk memukulnya,” katanya.

Tambah Sabariah, dia kemudian meminta bantuan saudaranya yang tinggal berdekatan dan penduduk kampung sebelum suaminya dibawa ke Klinik Kesihatan Gual Ipoh, dekat sini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tanah Merah, kira-kira jam 2 pagi, semalam, untuk bedah siasat.

Hadir sama menziarahi jenazah di hospital, Adun Gual Ipoh, Mohd Bakri Mustapha.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, suspek dipercayai cuba menceroboh rumah warga emas itu sebelum terserempak dengan mangsa.

Menurutnya, hasil bedah siasat, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung yang disebabkan ketukan objek tumpul di bahagian kepala.

“Suspek dipercayai menggunakan kayu berukuran 2x4 inci dan 90 sentimeter panjang untuk memukul mangsa. Kita ambil kayu yang ada kesan darah mangsa untuk bantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dan operasi memburu suspek kini giat dijalankan.

Post a Comment