Mangsa berusia dalam lingkungan 20-an itu maut disyaki akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas terbabit dalam satu pergaduhan.
Kontraktor binaan tapak projek itu, Saifudin Sulaiman, 42, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa mangsa kira-kira jam 8 pagi selepas dimaklumkan penyelianya bahawa ada seorang buruh maut di sebuah rumah kongsi tapak projek pembinaan masjid berkenaan.
Menurut Saifudin, sejurus menerima maklumat, dia bergegas ke lokasi kejadian namun sebaik tiba, dia mendapati polis sudah menjalankan siasatan.
Katanya, ketika dalam perjalanan ke tapak projek berkenaan, dia ada melihat seorang lelaki dipercayai pekerjanya berjalan kaki menuju ke arah jalan utama.
Dia yang mengesyaki ada sesuatu tidak kena bertindak mengekori pekerja tersebut namun gagal.
“Saya kemudiannya bergegas ke stesen bas Kuala Dungun kerana mengesyaki dia mungkin menuju ke situ untuk melarikan diri dengan menaiki bas.
“Saya berjaya menahannya di stesen bas itu ketika dia sedang menunggu bas, difahamkan untuk menuju ke Kota Bharu, Kelantan dan kemudian menyerahkannya kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya.
Kata Saifudin lagi, mangsa hampir lapan bulan bekerja di situ dan menetap di rumah kongsi dibina di atas tapak projek untuk memudahkan kerjanya.
Menurutnya, dia benar-benar terkejut apabila mengetahui kejadian menimpa mangsa kerana mangsa merupakan pekerja yang tidak banyak menimbulkan masalah.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Ketua Polis Daerah Dungun, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sinar Harian difahamkan, sehingga jam 12 tengah hari semalam, polis sudah menahan seorang suspek yang juga rakan mangsa untuk membantu siasatan.
Polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti identiti mangsa dan beberapa lagi rakannya yang mungkin boleh membantu dalam kes kematian buruh asing itu.
Post a Comment