BERITA TERKINI

Friday, 4 April 2014

Akhirnya penyamun menerima balasan setimpal

Advertisement
PASIR MAS - “Dia dipenjara tujuh tahun setimpal dengan apa yang dilakukan sehingga menyebabkan makcik menerima 200 jahitan di kepala dan parutnya masih ada sehingga sekarang,” kata bekas mangsa samun dan tetak, Che Rokiah Mat Salleh, 61.

Menurutnya, ketika kejadian tersebut berlaku iaitu pada 2008 lalu, nyawanya hampir melayang apabila dipukul dengan menggunakan batang besi di kepala dan mata.

Che Rokiah berkata, sehingga sekarang dia masih fobia tinggal sendirian sehingga menyebabkan perusahaan laksa yang dilakukannya terpaksa ditutup selepas kejadian tersebut.

“Makcik bersyukur kerana pesalah tersebut menerima hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan walaupun kes ini berlarutan selama enam tahun sebelum hukuman dijatuhkan,” katanya ketika ditemui di Kampung Bendang Pauh di sini, semalam.

Pada 26 November 2008,  dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, Che Rokiah Salleh cedera di kepala dan mata kiri serta patah hidung selepas dipukul suspek dengan batang besi.

Mangsa ditemui terlantar berlumuran darah di dalam rumah oleh anaknya, Mohd Zahar Yazid, 23, yang pulang ke rumah kira-kira jam 6.40 pagi selepas menghantar pekerja kilang.

Che Rokiah berkata, kejadian itu berlaku ketika dia bangun untuk menunaikan solat Subuh.

“Sebaik sahaja keluar dari bilik tidur, saya mendapati seorang lelaki yang dikenali sudah berada dalam rumah dan dia tiba-tiba terus memukul bahagian tengkuk menyebabkan saya terjatuh.

“Suspek yang membalut kepalanya dengan jaket dan kain langsir bertindak memukul kepala saya bertubi-tubi dengan batang besi.

“Saya menjerit meminta tolong tetapi pada masa itu di rumah, saya cuma ada seorang cucu berumur 18 bulan yang sedang tidur dalam buaian,” katanya.

Menurut Che Rokiah, dia tidak dapat berbuat apa-apa, apatah lagi untuk mempertahan diri  apabila suspek terus meragut rantai leher dianggarkan bernilai RM10,000 sebelum melarikan diri.

Post a Comment