Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, ketika melakukan rondaan di Kampung Kubang Rambutan, mereka menemui satu bungkusan plastik cerah berisi 200 botol plastik lut sinar dengan setiap satunya sepanjang hampir dua inci.
Beliau berkata, rampasan dianggarkan RM100,000 dengan nilai setiap botol RM500.
“Kita percaya penemuan baharu ini berkait rapat dengan kes terdahulu membabitkan seorang lelaki yang melarikan diri daripada sekatan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Rantau Panjang, pada jam 6.20 petang, Isnin lalu.
“Kedudukan bungkusan hanya 100 meter dari Sungai Golok, menguatkan lagi kaitannya dengan kes berkenaan namun siasatan lebih lanjut akan segera dilakukan," katanya.
Haliludin berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sebelum ini, disebabkan takut ditangkap oleh UPP, seorang lelaki yang dipercayai memiliki senjata api, meninggalkan kereta jenis Toyota Caldina dipandunya dekat Cabang Tiga Kubang Rambutan.
Suspek berusia 30 tahun itu, kemudiannya melarikan diri ke kawasan kediaman penduduk dengan membawa bersama satu bungkusan plastik sementara tangan kirinya memegang sesuatu di pinggang dipercayai senjata api.
Berdasarkan siasatan, kenderaan tersebut didaftarkan atas nama seorang lelaki beralamat di Kuala Terengganu dan pihak polis masih menyiasat hubung kait suspek dengan pemandu, sama ada individu yang sama atau sebaliknya.
Ekoran kejadian itu, satu pasukan khas ditubuhkan untuk mengesan dan memburu suspek.
Post a Comment