Mangsa, Azdizul Abidin Azeman, 35, keluar bersama tujuh rakan dan saudara-maranya ke kawasan sungai itu sejak kelmarin untuk menjala ikan.
Bagaimanapun, mangsa dikatakan dibawa arus deras ketika cuba mengambil jala ikan yang terlucut dari tangannya.
Biras mangsa, Zulkifli Zakaria, 42, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 7 petang kelmarin itu, mereka sudah berkemas untuk pulang.
Menurutnya, bagaimanapun Azdizul dilihat kembali menebar jala ke dalam sungai.
“Saya pelik kenapa dia buat begitu sebab sebelum itu, kami hanya memancing bukan menjala. Selepas tebar jala dia terus turun ke sungai.
“Anak saya juga turun untuk cuba membantu dan ketika itulah mereka berdua berada dilihat lemas, mungkin kerana air sungai dalam,” katanya.
Zulkifli berkata, mereka cuba menyelamatkan anaknya Muhammad Hafiz Fitri, 15, tanpa menyedari Azdizul juga sedang lemas ketika itu.
Katanya, dia dan rakan-rakannya berjaya menyelamatkan anaknya namun Azdizul terus terkapai-kapai dan hilang dibawa arus tanpa sempat diselamatkan.
Difahamkan, mangsa sememangnya suka menangkap ikan atau udang di tali air, parit ataupun lombong, namun ketika kejadian, dia pertama kali berkunjung ke sungai itu.
Sementara itu, Ketua Pasukan Bomba dan Penyelamat, Zon Perak 3, Kamarudin Shikh Hussin berkata, operasi menyelamat dilakukan pada jam 7.30 petang kelmarin sebelum dihentikan pada jam 12.50 malam.
Katanya, operasi yang masuk hari kedua dimulakan pada jam 7.30 pagi dengan dibantu pasukan Unit Skuba bomba dari Pulau Pangkor.
“Mayat mangsa ditemui pada jam 2.45 petang tadi (semalam) berhampiran dengan lokasi kejadian,” katanya.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat di sepanjang tebing sungai itu turut dibantu Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), dan penduduk kampung.
Post a Comment