Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, pada 18 Mac, kira-kira jam 1.30 pagi, seorang daripada dua suspek kes itu ditahan di kawasan Changkat Sulaian dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, susulan penahanan suspek, dua tangkapan lain dibuat dan ditahan reman serta dituduh di Mahkamah Sesyen Teluk Intan, pagi semalam.
Katanya, tiada pengakuan diterima dan hakim mahkamah menetapkan 10 April untuk sebutan semula kes.
Beliau berkata, dalam kejadian 17 Mac lalu, seorang pemilik kedai emas disamun dan ditetak oleh suspek di Sungkai.
“Ketika kejadian kira-kira jam 8.10 pagi, mangsa sedang berehat di ruang tamu dan didatangi dua lelaki yang terus menetak tangan kanannya.
“Semasa pemilik kedai emas berusia 59 tahun itu cuba melawan suspek, mangsa cedera di tangan kanan dan jari kiri akibat ditetak ketika bergelut,” katanya semalam.
Som Sak berkata, mangsa yang cedera tidak mampu melawan dan seorang suspek masuk serta cuba menutup mulutnya dengan pelekat.
Katanya, mangsa juga diarahkan oleh suspek supaya membuka bilik tidur di mana terdapat anak, menantu dan cucunya namun tidak berjaya.
Menurutnya, isteri mangsa bersembunyi dan mendiamkan diri di dalam bilik air ketika kejadian tersebut.
Katanya, selang lima minit kemudian, lima suspek melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran dengan Pekan Sungkai sebelum satu laporan polis dibuat oleh mangsa.
Som Sak berkata, gerakan bagi memburu suspek telah dijalankan dengan bantuan unit kereta peronda polis (MPV), Pasukan Cantas Khas, Cawangan Narkotik dan Unit K9 IPK Perak, Unit Forensik IPK Perak serta penduduk setempat.
“Gerakan mencari kesemua suspek berjaya apabila seorang ditahan di Changkat Sulaiman pada 18 Mac lalu, kira-kira jam 1.30 pagi sebelum menahan suspek dalam dua tangkapan lain,” katanya.
Post a Comment