BERITA TERKINI

Wednesday, 16 April 2014

Mayat dua remaja Orang Asli yang hilang di sungai Pahang dijumpai

Advertisement
TEMERLOH - Mayat dua remaja Orang Asli yang terjatuh ketika mandi di Sungai Pahang dekat Kampung Loyang, di sini petang kelmarin ditemui pasukan mencari dan menyelamat semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh Hashnuddin Hussin berkata, mayat pertama Suhaimi Ismail 17, ditemui pasukan mencari dan menyelamat terapung jam 11.30 pagi kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa mandi.

Menurutnya, kira-kira setengah jam kemudian pasukan mencari dan menyelamat menemui satu lagi mayat dan disahkan Hasmarizan Yusof, 15, yang mandi bersama mangsa pertama.

“Mayat Hasmarizan ditemui terapung kira-kira 200 meter dari tempat dua mangsa itu mandi di Kampung Loyang,” katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan kedua-dua remaja Orang Asli itu yang juga sepupu menunggang motosikal sejauh 8 kilometer dari rumah keluarga mereka di Kampung Paya Mengkuang untuk mandi di situ.

Bomba menerima maklumat jam 3.05 petang mengenai kejadian daripada orang awam dan menghantar  seramai 12 pegawai dan anggota termasuk pasukan penyelamat di air (PPA) bersama peralatan menyelamat.

Operasi menyelamat bermula jam 4 petang kelmarin dan ditutup kira-kira jam 7 petang dan akan disambung semula semalam.

Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.

Post a Comment