Mangsa, Hasanah Daud, 70, mengalami patah tangan kiri, lebam di pipi dan luka di kepala selepas dicederakan lelaki bertopeng yang turut melarikan wang bernilai RM1,000 yang disimpan di bawah bantal.
Dalam kejadian jam 2 pagi itu, mangsa yang sedang tidur di ruang tamu diserang seorang lelaki yang secara tiba-tiba menerpa masuk ke dalam rumahnya melalui pintu depan, sambil menutup mulut mangsa dengan tangan kedua tangannya dan memaksa warga emas itu menyerahkan wang yang disimpannya berhampiran tempat tidurnya itu.
Menceritakan detik cemas itu, Hasanah berkata, ketika kejadian dia sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan kehadiran lelaki berkenaan.
“Ketika diserang lelaki itu, tiada apa yang saya fikirkan hanya mati, memandangkan gigi palsu yang saya pakai juga hampir tertelan dan saya tidak mampu melawan kudratnya.
“Namun hampir setengah jam bergelut, dia terus menyeluk tangannya di bawah bantal dan berjaya melarikan wang yang digulung dan diletakkan dalam dompet duit saya bernilai RM 1,000,” katanya kepada pemberita.
Hasanah berkata, selepas lelaki berkenaan melarikan diri, dia terus menjenguk di muka pintu dan meminta tolong dan hampir setengah jam kemudian jirannya Zakaria Ibrahim, 52, datang menemui mangsa yang kesakitan.
“Saya minta dia hantar ke hospital memandangkan saya dalam keadaan kesakitan dan tak mampu lagi untuk berkata-kata memandangkan masih trauma dengan keadaan terbabit.
“Walaupun mengalami lebam-lebam di muka dan patah tangan, namun saya dibenarkan pulang selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan kini menumpang tinggal di rumah rakannya yang tidak jauh dari rumah," katanya.
Menurutnya mujurlah, jiran sekampungnya itu, Sarimah Saad, 76, yang tinggal dengan anak dan cucunya dapat membantu menguruskan Hasanah yang tidak mampu bergerak selepas patah tangan kiri.
“Buat masa ini saya masih menumpang tinggal di sini sejak disamun hampir lebih 10 hari lalu, dan mengharapkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat membantu untuk menempatkan saya di rumah Sri Kenangan, Pengkalan Chepa.
“Lagipun saya kini hidup sebatang kara dan jika ditempatkan di rumah berkenaan saya harap kehidupan saya lebih baik dan terjaga memandangkan kini saya semakin uzur dan masih trauma untuk tinggal di rumah sendiri selepas kejadian itu,” katanya.
Post a Comment