Husin Mat Yaman, 64, berkata, selepas dimaklumkan pihak tertentu di mana dia akan mendapat rumah baharu dan perlu merobohkan kediaman lama, Husin segera berbuat demikian tanpa berfikir panjang kerana tidak sabar ingin mendiami rumah yang lebih selesa.
Menurutnya, ketika itu tidak terlintas di fikiran bahawa dia bakal berdepan masalah berkenaan.
Husin yang hanya mengharapkan duit hasil menoreh getah berkata, selepas merobohkan rumahnya, pihak berkenaan menghantar 11 keping besi dan selori pasir untuk membina rumah baharunya.
“Selepas menghantar besi dan pasir mereka tidak datang sehingga hari ini.
“Isteri pernah beberapa kali mencari mereka dan minta penjelasan tentang rumah ini tetapi pihak berkenaan kerap mengelak,” katanya.
Dia berkata, pada mulanya dia hanya memperoleh bantuan baik pulih rumah sementara anaknya yang mendapat bantuan rumah baharu.
"Tidak lama selepas itu pihak berkenaan memaklumkan rumah anak saya sukar untuk dibina, dan saya pula cuba memohon untuk mendapat rumah baharu dan diterima.
“Pihak berkenaan berjanji rumah akan siap sebelum hari raya,” katanya.
Katanya, kehidupannya kini lebih tertekan. Berikutan masalah itu dia, isteri, anak, dan cucu-cunya terpaksa menyewa sedangkan kediaman lama masih boleh didiami walaupun agak daif.
"Dengan menoreh getah, berapa banyaklah yang kami sekeluarga dapat. Disebabkan jumlah susu getah yang agak kurang dan harga getah yang murah, saya terpaksa simpan RM170 sebulan sebelum berbelanja beli barang keperluan," katanya.
Husin berkata, dia dan keluarga masih menunggu sebab dan alasan pihak terlibat berkenaan perkara itu kerana tidak berkemampuan untuk terus menyewa tambahan dia tidak mendapat bantuan kewangan daripada mana-mana pihak.
Sementara itu, pihak berkenaan ketika dihubungi berkata, kediaman Husin terketak di tepi sungai dan ditenggelami banjir selain kos membuat rumah tidak boleh ditambah untuk meninggikan tapak rumah berkenaan.
Sehubungan itu, Husin berjanji untuk mencari pihak yang dapat membantunya untuk menghulurkan bantuan meninggikan tapak rumah berkenaan tetapi gagal.
“Jadi saya minta dia rujuk kes ini kepada pihak yang berkenaan kerana peruntukan bina rumahnya masih ada dan rumah lain yang dibina berdekatan rumahnya telah siap,” katanya.
Katanya, masalah itu berpunca dari tapak rumah yang rendah dan Husin tidak dapat menyediakan tapak lebih tinggi seperti dijanjikannya.
Post a Comment