BERITA TERKINI

Monday, 17 March 2014

Warga Myanmar maut dirempuh kereta

Advertisement
JELI - Hasrat seorang remaja warga Myanmar untuk berjumpa saudaranya yang akan berangkat ke Bangkok, Thailand tidak kesampaian apabila dia maut dirempuh kereta di Kilometer 91.3, Jalan Ayer Lanas-Jeli, dekat sini, kelmarin.

Pada nahas kira-kira jam 5.15 petang berhampiran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli, mangsa, Mohamad Akram Syakir, 17, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Sepupu mangsa, Mohamad Alam Hamzah, 41, berkata, dia sepatutnya berjumpa dengan Mohamad Akram sebelum bertolak ke Bangkok, Thailand atas urusan kerja.

“Dia (mangsa) ajak berjumpa sebelum saya pergi ke Thailand tetapi disebabkan sibuk dengan kerja, kami tidak sempat bertemu hinggalah saya dapat berita kematiannya.

“Kali terakhir saya berjumpa dengannya sebulan lalu ketika dia baharu bekerja di tapak pembinaan dalam UMK Kampus Jeli,” katanya ketika ditemui di Hospital Jeli, kelmarin.

Mohamad Alam memaklumkan, kejadian berlaku ketika Mohamad Akram dalam perjalanan pulang ke rumah kongsinya selepas membeli barang keperluan di bandar Jeli.

“Dia pergi bersama seorang rakannya dan selepas turun dari bas ketika pulang, dia terus melintas jalan dan dirempuh sebuah kereta dari arah Jeli ke Tanah Merah,” katanya.

Sementara itu, mayat mangsa yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR) itu kini ditempatkan di Hospital Jeli sementara menunggu bedah siasat.

“Apabila bedah siasat selesai dijangka Isnin ini (esok), mayat sepupu saya akan dikebumikan sama ada di Kampung Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) atau di Kuala Krai,” kata Mohamad Alam.

Post a Comment