BERITA TERKINI

Monday, 17 March 2014

Pekerja syarikat swasta maut kemalangan

Advertisement
KEMAMAN – Seorang pekerja sebuah syarikat swasta di Kawasan Perindustrian Jakar, Chukai terbunuh selepas kereta Proton Satria dinaikinya bertembung dengan sebuah Perodua Myvi dalam nahas di hadapan SMK Mak Lagam, di sini, kelmarin.

Mangsa, Mohd Nazrul Shahmir Mohd Nasir, 28, yang berasal dari Jalan Permatang Badak, Kuantan, Pahang, meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan sejurus tiba di Hospital Kemaman akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.05 tengah hari di Kilometer 8 Jalan Mak Lagam-Bandar Cheneh Baru itu, kereta dipandu mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Myvi dipandu seorang wanita.

Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu, berjaya dikeluarkan sepasukan anggota bomba dan penyelamat Balai Chukai yang bergegas ke lokasi setelah mendapat panggilan kecemasan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke Bandar Chukai.

“Bagaimanapun setiba di lokasi kejadian, dipercayai kereta dipandunya masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh  Perodua Myvi terbabit.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Difahamkan sebelum kejadian berlaku, mangsa baru sahaja menghantar isterinya yang bekerja sebagai guru tadika ke rumah mereka di Taman Perumahan Alam Perdana, Binjai, sebelum pergi semula ke Bandar Chukai atas urusan kerja.

Akibat perlanggaran tersebut, pemandu Perodua Myvi, Musfirah Mahmud, 27, yang dikatakan seorang guru dan berasal dari Pulau Serai, Dungun cedera parah dan masih dirawat di hospital sama.

Nahas itu menyebabkan kereta mangsa remuk teruk di bahagian hadapan.

Jenazah mangsa kemudian dituntut keluarganya di Unit Forensik kira-kira jam 5 petang dan dikebumikan di kampung halaman Allahyarham di Kuantan.

Post a Comment