BERITA TERKINI

Wednesday, 12 March 2014

Pegawai polis terkejut rumah dipecah masuk

Advertisement
KOTA BHARU - Seorang pegawai kanan polis hanya menyedari kediamannya dipecah masuk selepas pulang ke rumahnya petang kelmarin di Taman Sakinah Pengkalan Chepa di sini.

Dalam kejadian berkenaan, suspek dipercayai memecah masuk rumah terbabit dengan mengumpil pintu hadapan kediaman berkenaan ketika pemilik rumah berkenaan meninggalkan rumah kerana mempunyai tugasan di luar Kelantan.

Dipercayai penjenayah bertindak mengumpil gril besi dan tombol pintu kayu untuk masuk ke dalam rumah sebelum melarikan televisyen, komputer riba serta pelbagai lagi barangan berharga milik mangsa.

Daripada maklumat yang diterima, mangsa meninggalkan rumah untuk berkursus di Maktab Polis Cheras Kuala Lumpur sejak 23 Februari lalu dan meminta seorang rakan menjaga keadaan rumahnya.

Bagaimanapun, kira-kira jam 5.54 petang kelmarin mangsa menerima panggilan daripada rakannya yang dikenali sebagai Tajul Arifin Ab Fatah memberitahu rumahnya dipecah masuk oleh penjenayah.

Timbalan Ketua Polis Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar, ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian terbabit.

Idris berkata, sebaik mendapat maklumat sepasukan anggota dihantar ke tempat kejadian bagi melakukan siasatan lanjut.

Beliau berkata, suspek dipercayai masuk melalui pintu hadapan selepas mengumpil pagar jeriji besi dan memecah tombol pintu rumah berkenaan.

“Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di situ atau saksi bebas yang melihat kejadian. Usaha pengecaman cap jari sudah dilakukan dengan penemuan tiga kesan cap jari yang didapati pada pemegang laci rak televisyen.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,”katanya

Post a Comment