BERITA TERKINI

Monday, 31 March 2014

Import baharu jadi taruhan pasukan Perak

Advertisement
JIKA semuanya berjalan lancar, Perak berkemungkinan besar bakal menurunkan pemain import baharu pada aksi Liga Super menentang Selangor, Sabtu ini.

Mengulas lanjut, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Abdul Aziz Yeop Jamaluddin berkata, kedua-dua pemain berkenaan melibatkan pemain Lubnan, Imad Ghaddar, 23, serta pemain kelahiran Brazil, Diego Santos, 26, yang pernah beraksi bersama dengan kelab Liga Premier Lubnan, Al Akha’a Ahley dijangka tiba di Ipoh minggu ini.


Menurut Abdul Aziz lagi, dua pemain Croatia dari kelab FC Zadar, pemain pertahanan Marin Con 29, dan penyerang, Damir Vidovic, 26 juga dijangka tiba ke Ipoh dalam tempoh yang sama.

“Kita difahamkan, Imad telah ada di Kuala Lumpur dan menunggu rakannya Santos untuk datang ke sini (Ipoh), Perak. Kedua-dua mereka ini masih segar dengan aksi liga di Lubnan.

“Bagaimanapun, mereka perlu membawa dan mengemukakan dokumen yang lengkap khususnya Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC), sebelum boleh didaftarkan untuk diturunkan. Jika tidak, mereka hanya menjadi penonton sahaja.

“Bagi Vidovic dan Con pula, perlu dinilai pihak kejurulatihan sebelum sebarang keputusan dibuat kelak,” katanya pada sidang media, di pejabat Pafa, semalam.

Difahamkan, Pafa mencari tiga pemain import baharu setelah menamatkan kontrak penyerang Bosnia, Zelemir Terkers serta penyerang Brazil Eliel Da Cruz Guardiano apabila kedua-dua penyerang itu gagal memberi sumbangan kepada pasukan seperti yang diharapkan.

Terbaharu, Perak juga terpaksa menamatkan kontrak pertahanan Martin Kafando dari Burkina Faso yang mengalami kecederaan serius pada aksi menentang Lions X11, minggu lalu.

Abdul Aziz mendedahkan, Pafa juga dalam peringkat perbincangan bagi membawa masuk dua pemain Kelantan, Famirul Ashraf Sayuti dan Muhammad Aizat Jaini.

Katanya, Famirul yang beraksi di posisi tengah dan Muhammad Aizat (pertahanan), dibawa masuk bagi memperkuatkan kedua-dua posisi berkenaan.

“Kita tidak menyambung kontrak pemain pertahanan, Khairi Kiman dan Muhammad Haizal Faquan Sadaruddin kerana masih belum sempat pulih sepenuhnya daripada kecederaan,” katanya.

Mengulas desas desus yang mengatakan bekas penyerang berbisa Perak, Razali Umar Kandasamy ke Perak, Abdul Aziz berkata, perkara itu akan diputuskan oleh pihak pengurusan kelak, namun ianya bergantung kepada kekosongan yang ada.

“Dia ada hubungi kita sebelum Liga Super 2014. Bagaimanapun kita masih belum buat keputusan, lagipun dia (Razali) difahamkan dah setahun tak main bola. Buat masa ini dia ada di Perlis.

“Begitu juga Karl Heinz Weigang yang disebut bakal dilantik sebagai pengarah teknikal pasukan. Kita serah kepada pihak pengurusan buat keputusan,” katanya.

Post a Comment