Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi semalam, mangsa Goh Wong Leng, 61, seorang pembantu kedai runcit bersama dua lagi kakaknya yang berada di dalam rumah kedai dua tingkat berkenaan turut diikat dengan tali plastik.
Kedua-dua lelaki terbabit berjaya melarikan sebuah kereta Honda milik adik mangsa, satu telefon bimbit, serangkai kunci rumah dan kedai, serta wang tunai kira-kira RM500.
Wong Leng berkata, sebelum kejadian dia bersama adik beradik bersihkan rumahnya dan terkejut kerana tiba-tiba seorang lelaki tidak dikenali memakai topi keledar masuk lalu mengacukan pistol ke arahnya dan mengugutnya.
“Saya memberitahu tiada duit dan emas. Masa itu saya sangka itu adalah pistol palsu. Oleh itu saya bertindak melawannya dan apabila suspek mengacukan pistol ke arah saya, saya memegang meja lipat untuk berlindung di belakangnya.
“Kemudiannya saya terdengar satu letupan yang kuat dan saya syak lelaki tersebut melepaskan tembakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Bagaimanapun mangsa terselamat kerana tembakan tersebut mengenai almari sembahyang keluarganya.
Wong Leng berkata, seorang lagi lelaki lain masuk ke rumahnya dan arahkan dua kakak bersama emaknya yang berusia 86 tahun meniarap di atas lantai serta mengeluarkan barang barang berharga.
Kemudiannya, lelaki berkenaan mengambil tali plastik dan mengikat Wong Leng bersama dua lagi kakaknya, dalam masa sama perompak berkenaan mahu mengikat ibunya yang sudah uzur termasuk seorang adiknya penghidap strok namun pengadu merayu kepada suspek.
“Ibu saya terselamat kerana saya beri alasan dia tidak boleh diikat kerana tulangnya sudah reput dan adik saya pula menghidap strok, manakala seorang lagi ahli keluarga saya terselamat kerana ketika itu dia baru sahaja keluar rumah,” katanya.
Katanya lagi, lelaki berkenaan turut meminta wang daripadanya dan dia memberikan RM300 namun suspek tidak berpuas hati lalu menggeledah seluruh rumahnya yang turut menjumpai wang tunai kira-kira RM100 di dalam poket baju ibunya.
Mangsa juga memberitahu, kira-kira 30 minit kemudiannya kedua-dua lelaki berkenaan melarikan diri menggunakan kereta Honda milik adiknya yang dicurinya itu dan meninggalkan motosikal mereka.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintenden Idris Ab Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Post a Comment