BANDARAYA MELAKA - Nasib malang menimpa dua lelaki apabila ditangkap ketika cuba meragut beg salah seorang daripada empat pelancong asing yang sedang menunggu bas di hentian bas, Jalan Kubu, di sini, semalam.
Kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an itu ditangkap oleh keempat-empat pelancong asing wanita dibantu orang awam yang melalui kawasan berkenaan dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang.
Saksi, Yeo Tian Su, 30, berkata, dia dari Malim, di sini dalam perjalanan bertemu rakannya di Jalan Bendahara melihat motosikal dinaiki kedua-dua lelaki berada di hadapannya sebelum berhenti di hentian bas.
“Pembonceng turun dari motosikal lalu meragut beg salah seorang daripada empat warga asing berusia 40 hingga 50-an itu, bagaimanapun berjaya ditahan keempat-empat mereka sebelum sempat lelaki itu lari.
“Sementara penunggang motosikal pula cuba melarikan diri, tapi dapat dihalang dengan motosikal saya dan beberapa orang awam yang turut melalui kawasan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Menurut Tian Su, penunggang motosikal itu sempat mencakar bahagian dadanya sambil tidak mengaku terlibat dengan kejadian ragut tersebut.
“Saya luka sedikit di bahagian dada ketika bersama orang awam cuba menahan penunggang motosikal itu daripada melarikan diri.
“Kami menghubungi polis memaklumkan kejadian, sementara empat pelancong terus menaiki bas sebelum polis sampai kira-kira 10 minit kemudian,” katanya.
Post a Comment