Demikian cerita Embat Omar, 78, yang berkongsi pengalaman semasa nyaris menjadi mangsa ragut, dalam satu kejadian di Blok A, Flat Gelong Bilal, di sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, warga emas yang mesra di sapa Tok Ma itu dikatakan sedang menaiki anak tangga untuk ke rumahnya yang terletak di tingkat tiga selepas pulang dari rawatan mencuci buah pinggang di Pusat Rawatan Dialisis Islah di Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini.
“Semasa berada di tingkat satu, secara tiba-tiba Tok Ma disapa oleh seorang pemuda yang tidak dikenali datang dari arah belakang sebelum dia menawarkan diri ingin membantu membawa beg tangan Tok Ma.
“Ketika itu, Tok Ma tidak mensyaki apa-apa dan menolak pelawaan itu dengan jujur," katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.
Kata Tok Ma, lelaki itu pada mulanya tidak menunjukkan sebarang respons yang negatif dan mereka mula bersembang dengan ramahnya.
Namun sebaik sahaja sampai di tingkat dua, secara tiba-tiba pemuda itu yang sebelum ini berjalan seiring dengannya memperlahankan langkah dan berdiri di belakangnya.
“Semasa itulah, dia kata dia nak mati sebelum menarik beg tangan Tok Ma dari belakang dan dalam masa sama, dia turut menarik kaki Tok Ma.
“Akibat tarikan kuat itu, Tok Ma jatuh lebih kurang tujuh anak tangga, dalam keadaan sakit, Tok Ma tarik balik beg tangan tersebut,” katanya.
Kata Tok Ma, dia menjerit sekuat hati meminta pertolongan dan mungkin disebabkan terkejut dengan jeritan itu, lelaki tersebut terus melarikan diri.
Ibu kepada lima anak itu mengalami kecederaan bengkak di bahagian kepala dan sakit di seluruh badan.
“Sehingga saat ini, Tok Ma masih terbayang-bayang lagi kejadian itu dan Tok Ma yakin, masih mampu cam wajah pemuda itu jika selepas ini terserempak lagi dengannya,” katanya.
Post a Comment