Tok Batin Kampung Orang Asli Kampung Bukit Kepong, Gomeng Taat, 82, memberitahu, dia tiada pilihan lain, air yang berbau busuk dan berwarna hijau perlu diminum untuk memberinya tenaga bagi meneruskan perjalanan mencari jalan keluar.
Dalam kejadian itu, Gomeng telah masuk ke hutan sekitar jam 11 pagi Jumaat lalu sebelum sesat selama hampir 32 jam dan ditemui penduduk kampung dalam keadaan keletihan kira-kira 10 kilometer dari lokasi dia mula masuk ke hutan.
Gomeng berkata, kali terakhir dia masuk ke hutan kira-kira lima tahun lalu dan tujuan dia masuk ke hutan kali ini untuk mencari air akar kayu bagi mengubati sakit kayap yang dialami isterinya.
“Saya kasihan melihat isteri menanggung sakit dan nekad masuk ke hutan mencari air akar kayu untuk mengubatinya walaupun anak-anak tidak mengizinkan saya berbuat demikian kerana risaukan keadaan saya yang sudah tua,” katanya.
“Semasa berjalan masuk ke hutan, memang saya ada meninggalkan tanda dengan mematahkan daun pokok-pokok kecil, namun semakin jauh saya masuk ke hutan saya semakin keliru. Terlalu banyak perubahan persekitaran yang berlaku di dalam hutan ini," katanya.
“Sewaktu hendak pulang, saya gagal mencari jalan yang dilalui tadi walaupun saya sudah meninggalkan tanda. Keadaan semakin gelap, semua jalan seperti jalan mati, di depan saya ada kawasan paya yang luas dan apabila pusing ke belakang hutan semakin tebal.
“Akhirnya saya mengambil keputusan untuk meredah sahaja paya berkenaan dan terpaksa minum airnya yang berbau busuk serta kotor dengan menggunakan botol kosong yang dibawa,” katanya.
“Saya kemudian berjalan sehinggalah ke kawasan rumah sembahyang Orang Asli Bukit Kepong dan di situ saya segera melambaikan tangan apabila terlihat beberapa penduduk kampung yang sedang mencari saya,” katanya.
Sementara itu, menantunya, Azmi Sudin, 46, berkata, dia bersama isteri, abang ipar dan penduduk kampung mula risau apabila pada jam 6 petang ayah mertuanya belum pulang ke rumah.
“Kami hanya menemui motosikalnya yang ditinggalkan di tepi kebun. Operasi mencari dijalankan, kira-kira 30 penduduk kampung mencari sehinggalah jam 2 pagi namun dia gagal ditemui.
Operasi diteruskan pada pagi semalam dan laporan polis dibuat kira-kira jam 2 petang mengenai kehilangan berkenaan.
“Dengan bantuan Pasukan Polis, Rela dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung, kawasan mencari diperluaskan sebelum operasi ditangguhkan pada jam 6 petang.
"Namun ketika itu masih ada lagi beberapa penduduk yang mencari dan kira-kira jam 7 malam, mereka menemui ayah mertua saya dengan keadaan yang sangat letih dan tidak bermaya,” katanya.
Post a Comment