Ketiga-tiga mereka yang ketika itu masih di bawah umur bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Ungku Alfiati Zabeidah Ungku Ismail di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamaruddin.
Tertuduh pertama yang kini berusia 21 tahun bersama seorang rakannya, 19 dituduh merogol gadis yang ketika itu berusia 13 tahun lima bulan di sebuah rumah di Lorong Utama, Taman Seri Mahkota, Batu 11 Jalan Gambang antara jam 2 hingga 4 pagi, 5 April 2011.
Manakala seorang lagi rakan mereka yang kini berusia 19 tahun dituduh merogol mangsa yang sama kira-kira jam 2.30 pagi di rumah itu pada tarikh yang sama.
Bagi kesalahan itu ketiga-tiga mereka dituduh secara berasingan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Pihak pendakwaan membantah ikat jamin ke atas ketiga-tiga remaja terbabit bagaimanapun hakim memberi peluang untuk mereka merayu jika berkemampuan untuk menjelaskan jaminan yang ditetapkan.
Tertuduh pertama yang kini menganggur dan tinggal bersama keluarga merayu minta jaminan ke atasnya dibenarkan.
Bagaimanapun sikapnya yang tidak serius malah sempat gelak kecil ketika membuat rayuan ditegur Datuk Zainal Abidin.
“Kesalahan yang dilakukan ini serius, jika jaminan tidak ditawarkan, kamu boleh ditahan di penjara jadi jangan ketawa dan anggap ini sebagai main-main,” tegur Zainal Abidin sebelum memanggil bapa kepada remaja terbabit untuk kepastian berhubung kemampuan keluarga menjelaskan jaminan sekiranya ditawarkan.
Bapa remaja itu yang kurang faham tujuan dia dipanggil segera merayu agar mahkamah mengurangkan jaminan ke atas anak sulungnya itu.
Dia bagaimanapun turut ditegur kerana dilihat kurang serius dan merayu sambil ketawa kecil malah meminta agar tuduhan ke atas anak sulungnya itu digugurkan.
Mahkamah menjelaskan tujuan dia dipanggil bagi mendapatkan kepastian sama ada mampu menjelaskan jaminan RM8,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan.
Sebaliknya lelaki yang bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan RM800 sebulan itu mengakui tidak mampu malah dia hanya ada RM500.
Mengambil kira penjelasan pihak keluarga, mahkamah menetapkan jaminan kepada RM5,000 setiap mereka manakala 26 Mac depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan lantikan peguam kes terbabit.
Tertuduh kedua yang bekerja sebagai buruh sebelum itu turut merayu diwakili bapanya yang bekerja sebagai nelayan sungai dengan alasan tidak berkemampuan manakala penama ketiga yang baru bekerja sebagai mekanik di Kuala Lumpur diwakili kakaknya memandangkan bapa mereka enggan ambil tahu berhubung perkara itu.
Kedua-dua mereka turut dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan tarikh sebutan yang sama.
Sementara itu Zainal Abidin menetapkan syarat tambahan ke atas ketiga-tiga remaja terbabit di mana mereka perlu melaporkan diri di Balai Polis Rompin setiap bulan sebelum 4 haribulan dan dilarang keluar daerah tanpa kebenaran mahkamah.
Manakala tertuduh ketiga dikecuali syarat larangan keluar daerah memandangkan dia baru bekerja di Kuala Lumpur namun tetap perlu melaporkan diri di balai

Post a Comment