BERITA TERKINI

Saturday, 22 February 2014

Tertembak rakan sendiri

Advertisement
IPOH - Seorang lelaki maut selepas terkena tembakan dalam kejadian di Bukit Kinding, Tanjung Rambutan, malam kelmarin.

Mangsa, Muksimus Tuas, 34, pekerja ladang ternakan ayam mati akibat terkena tembakan senapang patah di bahagian dada ketika mengikut rakan majikannya berburu di hutan.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa bersama rakan majikannya yang berusia lingkungan 40-an berada di kawasan ladang kelapa sawit yang terletak kira-kira 3 kilometer dari tempatnya bekerja dipercayai untuk memburu babi hutan.

“Rakan majikan itu mendakwa dia sangkakan ‘benda’ yang bergerak-gerak di dalam semak berhampiran adalah babi hutan.

“Akibat ketakutan, dia (rakan majikan) bertindak melepaskan tembakan namun apabila mendekati semak itu dia terkejut melihat Muksimus terbaring akibat terkena tembakan tersebut.

“Berikutan insiden itu, kami segera membuat laporan di Balai Polis Tanah Hitam pada jam 12.30 malam,” katanya.

Hengki bersama isteri mangsa, Rian Prahmawati, 25, dan beberapa rakan lain ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.

Mayat mangsa akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kupang, Indonesia untuk disemadikan.

Dalam perkembangan sama, Rian berkata, dia ada menerima panggilan berhubung kejadian tersebut lebih kurang jam 8 malam.

“Selepas mendapat tahu perkara itu, saya segera menghubungi rakan-rakan suami yang kemudiannya pergi ke tempat kejadian untuk melihat situasi sebenar insiden tersebut,” katanya yang masih terkejut dengan pemergian suaminya itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Anuar Othman berkata suspek berusia 40-an itu telah menyerah diri ke balai polis sama pada jam 1 pagi tadi bersama senapang patah serta peluru yang digunakan untuk berburu babi hutan.

“Siasatan awal mendapati, suspek adalah ahli Rela dan mempunyai lesen untuk menyimpan senapang,” katanya dalam satu kenyataan semalam. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Post a Comment