Bagaimanapun, ini bukan kejadian pertama kerana kegiatan berkenaan mula dikesan jawatankuasa surau sejak 2011.
Pengerusinya, Sawal Mohamad Jekon, 61, berkata, pelbagai cara dilakukan termasuk memasang mangga pada tabung berkenaan, namun ia tetap dikopak dan duitnya dilarikan.
Menurutnya, kejadian terbaharu pada 18 Februari apabila seorang jemaah yang mahu menderma mendapati tabung berkenaan dipecahkan.
“Saya memeriksa tabung surau ini setiap hari. Kali terakhir saya periksa selepas solat Subuh, ia masih elok, tetapi selesai Zuhur, saya didatangi seorang jemaah yang menyatakan tabung berkenaan telah dikopak dan kosong,” katanya.
Sawal berkata, tabung yang dipecahkan itu merupakan bekas derma yang diletakkan di tempat solat wanita dengan anggaran jumlah kutipan sekitar RM600.
Dia percaya kegiatan itu dilakukan sebelum solat Zuhur kerana semua penduduk di kawasan taman perumahan berkenaan keluar bekerja ketika itu.
“Pencuri ini cukup licik melakukan kegiatan ketika semua orang pergi kerja. Saya telah membuat satu laporan polis berhubung kejadian dan berharap agar pencuri berkenaan dapat ditangkap serta dikenakan hukuman setimpal,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superitendan Mat Razali Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan kes masih dalam siasatan.
“Pihak polis masih lagi mengesan suspek yang melakukan perbuatan memecah tabung surau berkenaan, kami juga mengharapkan kerjasama orang ramai dengan memberikan maklumat jika mengetahui kegiatan terbabit,” katanya.
Post a Comment