Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, Ramlah Daim, 43, disahkan meninggal dunia di Hospital Pontian selepas basikal yang ditunggang dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta.
Mangsa yang merupakan pengawal keselamatan di sebuah sekolah di sini, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari tempat kerja.
Adik mangsa, Zaharuddin Daim, 35, berkata, arwah merupakan anak kedua daripada empat beradik, tinggal bersama ibunya setelah bercerai dan tidak mempunyai anak.
Jelasnya, dia amat terkilan kerana kakaknya itu tidak sempat mengadakan kenduri arwah adiknya yang meninggal dunia tiga tahun lalu.
“Arwah bercadang mengadakan kenduri arwah adik yang dihadiri ahli keluarga, sanak saudara, jiran dan rakan-rakan, bulan depan.
“Namun, ALLAH lebih menyayanginya, kami sekeluarga merasa pemergian arwah satu kehilangan besar kerana dia banyak membantu keluarga,” katanya.
Ibu mangsa, Zaharah Mohd Nor, 63, berkata, anaknya itu sempat mengucapkan selamat tinggal kepadanya sebelum ke tempat kerja pada hari kejadian.
“Arwah sempat mengucapkan selamat tinggal sebanyak dua kali pada pagi semalam sebelum ke tempat kerja di bandar Pontian,” katanya semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati terdapat kesan pelanggaran sebuah kereta dari arah belakang.
“Pemandu kereta tersebut telah membuat laporan polis dan keterangannya sudah diambil untuk membantu siasatan.
“Siasatan dijalankan di bawah seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Post a Comment