Kasmawati Wahid, 46, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke Bandar Machang bagi mendepositkan wang Amanah Ikhtiar yang dikutip daripada beberapa rakan kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Menurutnya, kejadian berlaku terlalu pantas dan dia hanya menyedari dua motosikal yang dinaiki empat lelaki datang menghimpit motosikalnya sebelum dipukul dengan objek tumpul.
“Selepas itu saya terjatuh dan tidak sedarkan diri. Apabila sedar saya sudah berada di hospital dan dimaklumkan beg saya berisi wang tunai sebanyak RM1,600 dan pelbagai dokumen penting telah hilang.
“Saya hanya menolong rakan mengutip duit Amanah (Ikhtiar) tersebut dan sudah menjadi kebiasaan bagi saya memasukkan wang itu ke dalam bank pada setiap Rabu,” katanya yang bekerja sebagai penoreh getah.
Akibat kejadian tersebut, Kasmawati cedera di kepala, tangan dan bahu kiri dan mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Machang.
Kasmawati berkata, kejadian seumpama itu pertama kali berlaku kepadanya dan dia langsung tidak menyedari jika lelaki tersebut ada mengekorinya sebelum tiba di tempat kejadian.
Katanya, dia masih trauma akibat kejadian tersebut dan berharap penjenayah terbabit ditangkap segera seterusnya mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa mereka.
“Saya dah lama menyertai Amanah Ikhtiar dan sudah menjadi kebiasaan bagi saya mengutip wang daripada rakan-rakan biarpun saya tidak menjadi ketua kumpulan. Saya bantu rakan saya sahaja sebenarnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Che Malek Bedot mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut, kelmarin.
Pihaknya kini giat mengesan suspek dan kes tersebut disiasat bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Post a Comment