Jayalalithaa mengumumkan keputusan itu sehari selepas mahkamah tertinggi negara menarik balik hukuman mati terhadap ketiga-tiga individu terbabit bersabit kes pembunuhan Gandhi pada tahun 1991 dalam serangan bom berani mati.
"Memandangkan mereka telah menghabiskan masa selama lebih 23 tahun di dalam penjara, kabinet memutuskan untuk segera membebaskan Santhan, Murugan dan Perarivalan di bawah kuasa yang diperuntukkan kerajaan negeri," kata Jayalalithaa sejurus selepas mesyuarat kabinet hari ini.
Katanya, beliau juga akan melepaskan empat yang lain termasuk seorang wanita yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup berhubung kes itu.
Gandhi telah dibunuh oleh seorang wanita Tamil yang bertindak sebagai pengebom berani mati di selatan negeri Tamil Nadu.
Agensi berita Press Trust of India (PTI) memetik Jayalalithaa sebagai berkata, kes itu akan dihantar kepada kerajaan persekutuan dengan kadar segera bagi mendapatkan kelulusan berhubung pembebasan itu.
Jayalalithaa akan terus berusaha memperjuangkan pembebasan mereka jika kerajaan persekutuan yang diterajui Parti Kongres gagal memberi maklum balas dalam tempoh tiga hari, kata PTI.
Rahul Gandhi, anak kepada Rajiv Gandhi yang juga Naib Presiden Parti Kongres menyatakan rasa tidak puas hati berhubung keputusan Jayalalithaa itu.
Source

Post a Comment