Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang kelmarin, mangsa, Hamzah Hashim, 15, ditemui lemas selepas mandi di sungai terbabit bersama empat rakannya dan dikatakan keluar dari pintu pagar sekolah yang terletak hampir 50 meter dari jambatan itu, selepas tamat sesi persekolahan.
Wan Meriam berkata, Hamzah (Abe Chik) yang merupakan pelajar Tingkatan 3 tahfiz, tinggal di asrama di Sekolah Menengah Ugama (SMU) Tarbiah Mardiah, Panchor dan hanya pulang hanya setiap minggu pada hari Khamis ke rumah, tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian.
Namun menurutnya seminggu sebelum tragedi, anak keempat dari lima beradik itu menyatakan hasratnya untuk menunaikan umrah dan ingin mengumpul wang untuk ke Tanah Suci Makkah.
“Khamis lalu, semasa berada di rumah, ketika berada di dalam bilik tidur Abe Chik sempat menyatakan hasratnya kepada saya.
“Saya amat gembira dengan hajatnya itu, namun saya nyatakan jika tidak berkesempatan bawa semua adik beradiknya yang lain, saya hajat nak pergi bertiga bersamanya, dan juga suami, Hashim Ismail, namun tidak kesampaian,” katanya sebak.
Wan Meriam berkata, pemergian anaknya itu amat dirasai memandangkan dia, merupakan antara yang paling rapat dengan keluarga dan antara pelajar yang cemerlang dan disenangi guru dan rakan-rakan di sekolah.
“Tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaan saya sebagai ibu yang melahirkannya, namun kejadian ini berlaku sekelip mata dan kami sekeluarga menerima ketentuan dan takdir ALLAH. Saya hanya mampu berdoa semoga rohnya dicucuri
rahmat dan ditempatkan dalam kalangan golongan yang beriman," katanya.
Jenazah Allahyarham Hamzah, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kem, Pengkalan Chepa jam 11 pagi semalam.
Ketua Operasi dan Penyelamat, Pegawai Bomba Tinggi Pengkalan Chepa, Saipu Bahri Mohd berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.04 petang.
“Setibanya di lokasi, kami memulakan operasi mencari dengan 20 anggota termasuk Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jam 4.30 petang dan mayat mangsa ditemui 10 minit kemudian.
“Ketangkasan anggota berjaya menemui mayat remaja terbabit dan kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk menjalani proses bedah siasat,” katanya.
Post a Comment