Ketua Polis daerah, Superitendan Hamzah Alias berkata, kejadian pada awalnya disedari pengawal keselamatan syarikat terbabit, kira-kira jam 6.50 petang sehari sebelum itu, dan mendapati gelung kabel hilang.
Menurutnya, pengawal keselamatan warga tempatan berumur 38 tahun menyedari insiden itu selepas membuat pemeriksaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang tiba-tiba tidak berfungsi.
“Lelaki berkenaan seterusnya membuat tinjauan di lokasi iaitu dekat sebuah asrama lama pekerja mendapati gelung kabel elektrik hilang.
“ Bagaimanapun, lelaki terbabit hanya membuat laporan polis pada keesokan harinya kira-kira jam 1.25 petang di Balai Polis Bahau,” katanya ketika mengesahkan kejadian berkenaan, semalam.
Hamzah berkata, hasil risikan dan maklumat yang diperoleh, pihaknya berjaya menahan lima suspek berumur antara 17 hingga 25 tahun di lokasi berasingan sekitar Bahau dan Manchis, Pahang antara 8 malam hingga 2 pagi.
“Suspek pertama dicekup berumur 17 tahun di kediamannya di Bahau kira-kira 8 malam membawa kepada penahan empat lagi rakan suspek.
“Manakala, seorang suspek berumur 18 tahun menyerah diri di Balai Polis Bahau. Hasil semakan juga mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Hamzah berkata, suspek ditahan reman Khamis hingga Ahad lalu, bagaimanapun disambung reman sehingga Khamis ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Post a Comment