BERITA TERKINI

Wednesday, 26 February 2014

Kenderaan orang kenamaan diserang

Advertisement
IPOH -  Sebuah kenderaan pacuan empat roda yang membawa Orang Besar Jajahan Hilir Perak diserang dua lelaki bermotosikal berhampiran Klinik Kesihatan Kampar, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, dua lelaki berkenaan secara tiba-tiba bertindak menghentak topi keledar ke arah cermin hadapan kereta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, tindakan itu menyebabkan cermin hadapan pacuan empat roda model Honda CRV yang dibawa pemandu kenamaan berkenaan, pecah.

Menurutnya, kehadiran motosikal yang dinaiki dua lelaki itu pada awalnya disedari pemandu, namun tidak menyangka mereka akan bertindak sedemikian.

“Mereka menaiki motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam dengan nombor pendaftaran tidak jelas di laluan kanan, kedua-duanya bertindak melarikan diri sebaik kejadian,” katanya.

Mohd Dzuraidi berkata, polis masih menyiasat motif kejadian, namun berdasarkan keterangan, pemandu berusia 39 tahun dan orang kenamaan  itu, tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pihak.

Katanya, ia kejadian  pertama  sejak pemandu itu berkhidmat selama tiga tahun dengan kenamaan berkenaan.

“Kemungkinan suspek membaling topi keledar itu secara rambang, buat masa ini, kita tidak mengesyaki mana-mana individu, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dan ia menyebabkan kerugian, katanya.

Post a Comment