BERITA TERKINI

Monday, 24 February 2014

Lagi kes diserang anjing

Advertisement
BAYAN BARU - Hasrat suami isteri mengerjakan  umrah Mac ini terpaksa ditangguhkan berikutan si isteri parah diserang seekor anjing di hadapan rumah mereka pagi kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa, Badriah Hanani Abu Bakar, 53, parah dan menerima 28 jahitan  di kepala, lengan dan paha akibat digigit anjing jirannya yang terlepas.

Difahamkan, anjing itu milik seorang pegawai sebuah agensi kerajaan negeri berpangkat Datuk yang tinggal selang empat rumah dari rumah mangsa.

“Ketika kejadian, mangsa sedang berbual dengan jiran di hadapan rumahnya. Suami mangsa turut berada di situ. Ketika leka berbual, anjing itu yang terlepas keluar setelah pintu pagar rumah berkenaan terbuka, menerkam mangsa.

“Kejadian berlaku  jam 8.15 pagi semalam (kelmarin) di kawasan perumahan di Solok Bukit Jambul. Selepas kejadian, pemilik anjing jenis German Shepherd berkenaan terus datang mengambil anjingnya pulang," katanya.

Menceritakan detik cemas itu, Badriah berkata, kejadian berlaku begitu pantas dan dia tidak dapat menyelamatkan diri haiwan itu bersaiz besar.

“Semasa kami leka berbual, saya nampak seekor anjing meluru ke arah kami sambil menyalak kuat. Saya menjadi cemas dan terus menjerit meminta tolong.

“Anjing itu terus menerkam lalu menggigit paha kanan saya sehingga saya rebah di atas jalan. Dalam keadaan terlentang, anjing itu menggigit pula lengan kiri saya sebelum dihalang tuannya,” katanya ketika ditemui di sebuah hospital swasta di Bayan Baru di sini semalam.

Suami mangsa, Suhaimi Ismail, 59, berkata, akibat insiden itu, Badriah dikejarkan ke hospital  berlumuran darah dan terpaksa menerima 13 jahitan di kepala, 12 di lengan kiri dan tiga di paha kanan.

“Isteri saya jatuh dan kepalanya cedera terhantuk atas jalan ketika diserang anjing. Nasib baik saya dan jiran ada ketika itu, jika tidak, saya tak tahu apa akan berlaku.

“Susulan kejadian itu, saya sudah membuat laporan di Balai Sungai Nibong petang kelmarin termasuk kepada pihak  Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) pagi semalam. Tujuan saya buat laporan kepada pihak berkuasa adalah untuk keselamatan orang awam khususnya penduduk di kawasan taman perumahan berkenaan. Saya bimbang kejadian sama berulang memandangkan kawasan ini terletak berhampiran dengan taman permainan,” katanya.

Pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu berkata, lebih membimbangkan, di sebelah rumahnya terdapat sebuah taska yang mempunyai puluhan kanak-kanak yang belajar di situ.

"Saya juga terkilan. Saya dan isteri sepatutnya menunaikan umrah Mac ini namun terpaksa ditangguhkan kerana kejadian ini. Tak apalah, saya redha,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah ketika dihubungi mengesahkan laporan dan kejadian tersebut.

Difahamkan, anjing yang berusia 10 bulan itu kini diambil  JPV untuk tindakan lanjut petang semalam manakala pemiliknya dikatakan tidak memiliki lesen untuk membela haiwan tersebut.

Post a Comment