Justeru kekalahan pasukan wanita mereka ini, sememangnya keputusan yang tidak terjangka kerana mereka kini berdepan situasi sukar untuk menempah tempat ke separuh akhir.
Sabah sebaliknya berada di posisi terbaik untuk ke separuh akhir kerana mengumpul empat mata, termasuk satu mata yang diraih hasil keputusan seri 2-2 dengan Selangor PKNS pada perlawanan pembukaan.
Mereka kini perlu menewaskan PDRM pada perlawanan terakhir kumpulan untuk kekal di tangga teratas kumpulan, sekali gus mengelak daripada berdepan pasukan pilihan, Selangor MPSJ di separuh akhir.
Begitu pun, PDRM turut mempamerkan kebangkitan dari kekalahan 9-2 kepada KL Felda United pada perlawanan pembukaan, apabila melakar kejutan menang 4-3 ke atas Selangor PKNS.
Hasil keputusan itu, Selangor PKNS dan KL Felda United kini terperangkap dalam kealpaan sendiri, dan perlu berdepan sesama sendiri esok (Jumaat) untuk menempah tempat ke separuh akhir.
KL Felda United mendahului pada minit ke-13 menerusi jaringan Siti Noor Halimi Hussain namun Sabah menyamakan kedudukan seminit selepas itu, menerusi gol Syairah Asiah Zakaria.
Nor Faizah Md Akhir kembali meletakkan KL Felda United di depan, selang seminit selepas itu.
Masturah Majid kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-22 sebelum Siti Noor Halimi menambah kerancakan perlawanan, meletakkan KL Felda United di depan pada minit ke-24.
Selepas itu, perlawanan menjadi milik Sabah apabila Dadree Rofinus menyamakan kedudukan 3-3 pada minit ke-28.
Derita KL Felda United bermula dengan Farahyah Rizuan dilayangkan kad merah pada minit ke-29.
Masturah muncul wira apabila menjaringkan dua gol buat sabah menjadikan kedudukan bertukar 5-3.
Dalam pada itu, Selangor turut dikejutkan dengan kekalahan 2-1 kepada ATM dalam aksi kumpulan A sekali gus mereka perlu bersaing dengan pasukan itu untuk merebut satu lagi slot separuh akhir, mengiringi Selangor MPSJ.
ATM berdepan laluan mudah, menentang Kedah pada perlawanan terakhir kumpulan esok.
ATM bermain bijak dalam perlawanan itu dan memperoleh gol menerusi jaringan Amira Farah Azhari pada minit ke-18 dan Nur Atikah Abdul Wahab, minit ke-25.
Selangor memperoleh gol saguhati menerusi jaringan Nor Khalidatul Nadia Jamil namun jaringan itu tidak cukup untuk membantu mereka bangkit, sebaliknya tugas getir menanti apabila mereka mesti menewaskan MPSJ esok untuk ke separuh akhir.
Selangor MPSJ mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menang selesa 7-0 ke atas Kedah.
Post a Comment